BAB 10.4 Kesan Kemerdekaan terhadap Negara Kita - PDF Flipbook

BAB 10.4 Kesan Kemerdekaan terhadap Negara Kita

122 Views
16 Downloads
PDF 0 Bytes

Download as PDF

REPORT DMCA


10.4 Kesan Kemerdekaan terhadap Negara Kita

Kemerdekaan yang diperoleh memberikan kesan terhadap negara kita terutama pada peringkat awal
kemerdekaan. Perkara ini dapat dilihat melalui penglibatan negara kita di dalam dan di luar negara
sama ada dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial.

Politik

Dari aspek politik, kesan kemerdekaan dapat dilihat pada peringkat negara dan juga antarabangsa.
Kesan di dalam negara dapat dilihat melalui amalan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi
Berparlimen. Di samping itu, sistem perundangan dan pentadbiran tempatan menjadi lebih berkesan
apabila negara mencapai kemerdekaan.

Pengamalan Sistem Raja Berperlembagaan
Setelah merdeka, negara kita mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan. Yang di-Pertuan Agong menjadi
ketua utama negara dengan bidang kuasa tertentu.

Demokrasi Berparlimen
Dalam amalan sistem Demokrasi Berparlimen, rakyat mempunyai kuasa memilih kerajaan dan pemerintah
melalui pilihan raya. Pelaksanaan pilihan raya memberi rakyat hak bersuara dan memilih wakil untuk
menentukan hala tuju masa depan dan kesejahteraan negara.
Hasil kemerdekaan yang dicapai membolehkan parlimen berkuasa menggubal undang-undang pada
peringkat Persekutuan. Pada peringkat negeri pula, Dewan Undangan Negeri berkuasa menggubal
undang-undang. Hal ini menjadikan undang-undang lebih berkesan dan mampu memakmurkan negara.

Pentadbiran Negara
Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama. Beliau
mengekalkan ahli kabinet yang ada dan membuat perubahan dengan melantik Dato’ Abdul Razak Hussein
sebagai Timbalan Perdana Menteri. Buat kali pertama dalam sejarah Persekutuan Tanah Melayu mempunyai
seorang Menteri Luar sebagai tanda kebebasan negara menjalankan dasar luar negara. Jawatan ini disandang
oleh Tunku Abdul Rahman.

Cabaran Kerajaan Persekutuan
Cabaran kerajaan Persekutuan adalah untuk menggantikan pegawai Eropah dengan rakyat tempatan,
khususnya dalam bidang profesional, pendidikan tinggi, keselamatan dan pertahanan. Tunku Abdul Rahman
dan Dato’ Abdul Razak Hussein memberikan komitmen yang tinggi bagi melaksanakan penggantian ini
secara berperingkat dengan melantik rakyat tempatan dalam pelbagai bidang.

BAB 10

Majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Istana Negara kini dijadikan Muzium Diraja. Bangunan Parlimen.
yang pertama pada 2 September 1957. IPIM Sumber: Pusat Maklumat
Sumber: Malaysia. Arkib Negara Malaysia, Muzium Diraja. Utusan dan Unit Foto Utusan
2006. Arkib Warisan Eksklusif. Kuala Melayu (M) Bhd.
Lumpur: Utusan Publications & Distributors
Sdn. Bhd.

242

Peringkat Antarabangsa

Sebagai negara yang mencapai kemerdekaan, negara kita mula memainkan peranan penting pada
peringkat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Komanwel.

Dasar Luar
Kerajaan memberikan perhatian melalui pengukuhan Kementerian Luar. Pada awal tahun 1957,
kumpulan pertama pegawai dihantar ke Britain untuk mendapatkan latihan. Antara tokoh yang berperanan
penting dalam usaha menentukan dasar luar negara termasuklah Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie dan
Dr. Ismail Abdul Rahman yang pernah dilantik menjadi Menteri Luar. Negara kita juga menjalinkan hubungan
dengan negara luar seperti Indonesia, India, Australia, New Zealand, Mesir dan Jepun.

Menganggotai Komanwel

Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka, negara kita juga diterima untuk menyertai pertubuhan
Komanwel. Pertubuhan Komanwel bermanfaat untuk merapatkan hubungan sosioekonomi dengan negara ahli.
Komanwel juga menjadi medan untuk negara kita mempamerkan komitmen terhadap isu yang dihadapi oleh
negara anggota.

Pertahanan Negara

Sebelum merdeka, negara kita dilindungi melalui pembentukan kerjasama pertahanan Britain, Australia dan
New Zealand. Selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman ingin mengekalkan hubungan baik dengan Britain
dan negara Komanwel. Keadaan negara yang belum mempunyai kekuatan pertahanan menyebabkan negara
memerlukan bantuan Britain ketika itu dengan memeterai perjanjian pertahanan yang dinamakan Anglo
Malayan Defence Agreement (AMDA) pada tahun 1957.

Penyertaan dalam Blok Sterling

Penyertaan ini bermaksud negara menggunakan Pound Sterling dalam urusan perdagangan antarabangsa.
Kedudukan Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara yang berpendapatan tinggi daripada hasil getah dan
bijih timah memperkuat kedudukan mata wang Pound Sterling. Penyertaan Persekutuan Tanah Melayu yang
mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh dalam Sistem Keutamaan Tarif Komanwel (Commonwealth
Preferential Tariff System) turut memperkukuh kedudukan ekonomi ahli-ahlinya.

Diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Negara kita diterima menjadi ahli PBB dalam persidangannya pada 17 September 1957. Negara kita
merupakan anggota PBB yang ke-82. Bendera negara kita dikibarkan dalam satu upacara rasmi di ibu pejabat
PBB di New York pada 15 Oktober 1957. Dengan menyertai PBB, negara kita turut menjunjung prinsip PBB
untuk melindungi hak asasi manusia.

Misi Pengaman PBB BAB 10

Negara kita turut terlibat dalam misi pasukan pengaman
PBB di Congo. Pemilihan ini menggambarkan kepercayaan
dan pengiktirafan tertinggi PBB kepada sebuah negara
baharu untuk bersama-sama terlibat dalam pengurusan
konflik antarabangsa.

Dr. Ismail Abdul Rahman Komanwel ialah pertubuhan
bersama-sama dengan sukarela yang dianggotai oleh
Mr. Dag Hammerskjoeld, negara merdeka yang pernah
Setiausaha Agung PBB dijajah oleh British.
pada 14 Mac 1959.
Sumber: Malaysia. Arkib Negara 243
Malaysia, 2006. Arkib Warisan Eksklusif.
Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.

BAB 10 Ekonomi

Selepas mencapai kemerdekaan, kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan
ekonomi negara.

Rancangan Malaya Pertama 1956–1960
Rancangan ini bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan tumpuan pada
sektor luar bandar. Selain itu, kerajaan mempelbagaikan keluaran pertanian supaya tidak hanya
bergantung pada pengeluaran getah, di samping menambahkan peluang pekerjaan bagi mengurangkan
kadar kemiskinan.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
Badan ini ditubuhkan pada tahun 1956 untuk memajukan tanah baharu secara besar-besaran bagi pertanian
dan penempatan semula masyarakat. Keluarga dari kawasan luar bandar dipindahkan ke rancangan tanah
FELDA untuk menanam getah atau kelapa sawit. Perumahan dan kemudahan asas disediakan untuk peneroka.

Institusi Kewangan Tempatan
Malay National Bank atau Bank Kebangsaan Melayu merupakan bank pertama khusus untuk orang Melayu
yang ditubuhkan di Klang Street, Kuala Lumpur oleh Maarof Zakaria. Bank Negara pula mula beroperasi pada
26 Januari 1959, bagi menggalakkan kestabilan kewangan dengan menyediakan persekitaran yang kondusif
untuk pertumbuhan ekonomi negara kita. Selain itu, terdapat juga Kwong Yik Bank yang ditubuhkan pada
1913 di Kuala Lumpur.

Pembangunan Luar Bandar
Kementerian Pembangunan Luar Bandar diwujudkan pada 17 November 1959, hasil penstrukturan
pentadbiran yang bertanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur, sosial dan ekonomi luar bandar.
Majlis Pembangunan Luar Bandar pula ditubuhkan pada peringkat negeri dan daerah bagi merancang dan
menyelaraskan pelaksanaan projek pembangunan. Kerajaan memberikan keutamaan kepada penyediaan
kemudahan asas untuk penduduk luar bandar.

Rancangan Buku Merah
Rancangan Buku Merah dilancarkan pada 25 Januari 1961. Buku ini mengandungi projek berkaitan dengan
kemudahan asas seperti jalan kampung, jambatan, surau, bekalan air dan bekalan elektrik. Pemantauan
dan maklum balas berdasarkan rekod yang terdapat dalam Buku Merah diletakkan di dalam Bilik Gerakan
Kemajuan Negara pada peringkat daerah, negeri dan pusat.

Walaupun kerajaan berusaha membangunkan
kawasan luar bandar, peruntukan yang tidak
mencukupi menjadi penghalang. Keadaan ini
menyebabkan beberapa program pembangunan
menghadapi masalah seperti pembinaan sekolah,
pusat kesihatan serta penyediaan bekalan air dan
elektrik di kawasan luar bandar.

Majlis perasmian Bank Negara oleh
Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1959.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia.

244

Sosial BAB 10

Sejak mencapai kemerdekaan, kerajaan memberikan banyak tumpuan dalam pembangunan sosial
seperti pendidikan, kedudukan bahasa Melayu, kesihatan dan kemudahan sosial.

Pendidikan
Pendidikan merupakan wadah untuk membina sebuah bangsa bagi negara yang bersatu. Kerajaan
mengeluarkan Penyata Rahman Talib bagi mengkaji semula Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 yang
lalu. Penyata ini memberikan penekanan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka
Kedudukan bahasa Melayu semakin kukuh apabila Fasal 1 Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu menetapkan bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan. Dengan itu,
Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, Johor, sebagai sebuah jabatan
di bawah Kementerian Pelajaran.

Jabatan Penerangan
Penubuhan jabatan ini bertujuan menyampaikan maklumat tentang peristiwa di dalam dan di luar negara.
Hal ini selaras dengan fungsinya sebagai lidah rasmi kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat berkaitan
dengan falsafah, dasar dan wawasan negara terutama menjelang kemerdekaan dan pada tahun-tahun awal
negara merdeka.

Kesihatan
Pusat kesihatan dan hospital ditubuhkan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk luar bandar. Ketika
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara mempunyai sebanyak 65 buah hospital. Kementerian Kesihatan
memainkan peranan penting dalam pemulihan isu sosial serta pembangunan masyarakat demi kesejahteraan rakyat.

Kemudahan Asas
Penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur kepada masyarakat juga diberikan perhatian oleh kerajaan pada
awal kemerdekaan. Kemudahan bekalan elektrik dan air bersih diutamakan demi keselesaan dan kesihatan
penduduk. Kemudahan ini juga untuk membantu usaha meningkatkan taraf hidup, di samping merapatkan
jurang antara penduduk luar bandar dengan bandar.

Tempoh pengisian awal kemerdekaan
merupakan tempoh penting dalam
sejarah negara. Tempoh ini penting
kerana kerajaan pada masa ini perlu
mempelajari dan mencari pengalaman
yang boleh digunakan untuk membina
sebuah negara yang makmur. Oleh
sebab itu, sebagai warganegara, kita
seharusnya bersyukur dengan nikmat
kemerdekaan yang dicapai pada hari ini.

Sebahagian penduduk menghadiri kelas yang dianjurkan
oleh kerajaan untuk membangunkan sektor pendidikan pada
awal kemerdekaan.
Sumber: Arkib Negara Malaysia.

245


Data Loading...