5 CERITA MENARIK - PDF Flipbook

5 CERITA MENARIK

104 Views
75 Downloads
PDF 6,510,449 Bytes

Download as PDF

REPORT DMCA


Seekor labah-labah
membuat sarang di tepi hutan.

Sarangnya selalu rosak. Kadang-kadang rosak
disebabkan oleh angin kencang. Kadang-kadang rosak
disebabkan oleh hujan. "Ha! Ha! Ha!" nyamuk ketawa.

"Wahai Sang Labah-labah, engkau melakukan kerja
yang bodoh! Setiap hari, engkau asyik membuat sarang.
Sedangkan, sarangmu itu akan rosak," nyamuk menghina
labah-labah. Namun, labah-labah berdiam diri sahaja.
Setiap hari, labah-labah tetap tekun membuat sarangnya.

Pada suatu malam, nyamuk terbang hendak pergi
mencari makanannya. Semasa terbang, nyamuk
terlanggar sarang labah-labah. Apalagi! Nyamuk
terperangkap di sarang labah-labah. Nyamuk tidak dapat
melepaskan diri.

Nyamuk berasa menyesal kerana pernah menghina
labah-labah. Namun, sesal kemudian tidak berguna lagi.
Matilah nyamuk itu dimakan oleh labah-labah.



Maharaja Jepun
mempunyai dua orang jiran.
Mereka ialah tukang besi dan
tukang kayu.

Rumah tukang besi terletak di sebelah kanan istana
Maharaja Jepun. Rumah tukang kayu pula terletak di
sebelah kiri istana Maharaja Jepun. Tukang besi dan
tukang kayu sangat rajin bekerja. Mereka bekerja siang
dan malam.

Setiap malam, Maharaja Jepun tidak lena tidur. Bunyi
bising tukang besi dan tukang kayu itu bekerja
menyebabkan Maharaja Jepun tidak dapat tidur. Setiap
malam terdengar bunyi bising tukang besi bekerja - ting,
ting, tung, tung!

Bunyi bising tukang kayu bekerja juga bertalu-talu - tuk,
tuk, tum, tum! Maharaja Jepun lalu menyuruh tukang besi
dan tukang kayu itu berpindah.

"Beta mahu tidur lena pada waktu malam," kata
Maharaja Jepun kepada tukang besi dan tukang kayu.

Tukang besi dan tukang kayu bersetuju. "Baiklah,
tuanku! Kami akan berpindah," kata mereka kepada
Maharaja Jepun. Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi,
tukang besi dan tukang kayu segera berpindah.

Maharaja Jepun berasa sangat senang hati. "Mulai
malam ini, beta boleh tidur lena," ujar Maharaja
Jepun. Pada sebelah malam, awal-awal lagi, Maharaja
Jepun masuk ke bilik tidurnya. Namun, tiba-tiba
terdengarlah bunyi bising yang sangat kuat.

Ting, ting, tung, tung! Tuk, tuk, tum, tum! Maharaja
Jepun sangat terkejut.

Rupa-rupanya, tukang besi berpindah ke rumah
tukang kayu. Tukang kayu pula berpindah ke rumah
tukang besi.



Mengikut cerita dongeng,
kononnya pada zaman dahulu,
burung puyuh boleh terbang
tinggi. Ekornya panjang. Suaranya pula sangat merdu.

Puyuh tidak mahu berkawan dengan burung-
burung lain. "Rupaku lebih cantik," kata puyuh dengan
perasaan sombong.

Pada suatu hari, puyuh pergi ke padang. Puyuh
mahu berkawan dengan kerbau. "Lebih baik aku
berkawan dengan kerbau. Kerbau lebih besar dan
gagah," kata puyuh.

Burung-burung lain berdiam diri sahaja. Mereka tidak
suka berkawan dengan puyuh yang sombong itu.

Ketika puyuh tiba di padang, kerbau tidak
ternampak puyuh. Kerbau terpijak puyuh. "Aduh!" puyuh
menjerit kesakitan.

Ekor puyuh tercabut. Kedua-dua
belah sayapnya patah. Puyuh berasa
menyesal.

"Pergilah berkawan dengan
kerbau itu!" kata burung-burung lain.
Puyuh berasa malu.

Kononnya, itulah sebabnya sampai
sekarang puyuh berekor pendek dan tidak boleh terbang
tinggi lagi.



Sekolah bercuti selama
satu minggu. Kumar bersama-
sama dengan ibu bapanya pu-
lang ke kampung.

Kumar sangat gembira. Dia sudah lama tidak pulang
ke kampung.

Kumar dapat berjumpa kawan-kawannya. Antara
kawan baiknya di kampung ialah Busu, Syamsul, Ah
Meng, dan Rajesh.

Kumar sangat gembira kerana dapat bermain
bersama-sama dengan kawan-kawannya.

Pada suatu petang, Kumar dan kawan-kawannya bersiar-
siar di sekeliling kampung. Mereka pergi ke tepi sawah.

"Sudah lama saya tidak melihat sawah. Perman-
dangan sawah sungguh cantik," kata Kumar.

Tiba-tiba Kumar terpandang
sebuah kotak di tengah sawah.
Kotak itu terletak di atas sebatang
tiang.

"Wah, sekarang sudah ada
peti surat di tengah sawah!" kata
Kumar.Busu, Syamsul, Ah Meng, dan
Rajesh tertawa.

Kumar berasa hairan apabila kawan-kawannya
ketawa. "Mengapakah kamu semua ketawa?" tanya
Kumar. "Itu bukanlah peti surat," kata Busu.

"Kotak itu ialah sarang burung hantu," ujar
Syamsul. "Petani memelihara burung hantu. Burung hantu
sangat berguna kepada petani. Burung hantu suka
makan tikus," terang Ah Meng pula.

"Tikus pula makan padi. Dengan
demikian, burung hantu dapat
menolong petani supaya padi tidak
dirosakkan oleh tikus," jelas Ah Meng
lagi.

"Oh, begitu!" kata Kumar sambil
tertawa. Dia berasa lucu kerana menyangka kotak itu
ialah peti surat.



Pada suatu hari, Kassim dan kawan-kawannya
pergi ke ladang getah. Mereka hendak melastik burung.

Tiba-tiba mereka terjumpa sebuah sarang lebah.
"Mari kita lastik sarang lebah itu," kata Kassim. "Jangan!
Perbuatan ini berbahaya," Salleh cuba melarang.

"Kamu semua jangan jadi penakut. Kita boleh lari,"
kata Adnan pula. Mereka segera melastik sarang lebah
itu. Sarang lebah itu pecah. Lebah segera mengejar
mereka.

Kassim dan kawan-kawannya berlari kencang
untuk menyelamatkan diri. Tetapi lebah itu lebih pantas

mengejar mereka. Mereka
disengat oleh lebah. "Tolong!
Tolong!" mereka menjerit-jerit
kesakitan.

Mujurlah lebah itu mengejar
mereka separuh jalan sahaja.
Namun, Kassim pengsan akibat
disengat oleh lebah itu. Kassim
dirawat di hospital.

"Mujurlah kamu selamat. Jika tidak, kamu mungkin
akan mati disengat oleh lebah itu," kata jururawat.

"Ibu sudah melarang kamu. Jangan berkawan
dengan budak-budak nakal," kata ibu Kassim
pula. "Baiklah, ibu! Saya berjanji tidak akan berbuat nakal
lagi," Kassim berjanji.

Semenjak hari itu, Kassim tidak bermain lastik lagi.
Kassim juga tidak berkawan dengan budak-budak nakal
lagi.

CERITA DARI ZOOM A


Data Loading...