Si Puteri Bongkok - PDF Flipbook

Kisah Dongeng.

120 Views
48 Downloads
PDF 19,036,700 Bytes

Download as PDF

REPORT DMCA


Nur Aliah Khairul Anuar

Pada zaman dahulu, tinggal sebuah keluarga kecil di sebuah kampung yang sangat indah. Ada seorang tukang kayu yang bernama Pak Abu dan isterinya bernama Mak Wan. Pak Abu mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Anak sulung Pak Abu bernama Ayu, anak kedua pula bernama Siti dan anak bongsunya bernama Wadi. Keluarga ini tinggal disebuah rumah kayu berdekatan dengan sebatang sungai. Walau pun hidup mereka miskin, tetapi keluarga mereka sangat bahagia. Ayu dan dua orang adiknya sering menolong ayah mereka mencari kayu api di dalam hutan.

Setelah selesai mencari kayu api di dalam hutan, Ayu mengajak adikadiknya berehat sebentar di bawah pokok untuk menghilangkan penat. Pokok itu sangat rendang. “Mari! kita berehat dahulu di sini.” kata Ayu kepada Siti dan Wadi. Suasananya sungguh nyaman. Burung-burung pula berkicauan dengan sangat merdu. Mereka duduk di situ sambil bergurau senda dan lama kelamaan mereka tertidur.

Ketika mereka sedang nyenyak tidur, datang seorang wanita bongkok mendekati mereka sambil berkata, “Mengapa mereka tidur di sini? Banyak binatang buas di kawasan ini." Memandangkan hari semakin gelap, wanita bongkok itu menggunakan tongkat saktinya untuk membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya. Tongkat sakti itu berubah menjadi kereta kuda setelah ia dilempar ke tanah.

Di dalam mimpi, Ayu telah bertemu dengan seorang puteri yang sangat cantik. Puteri itu memakai pakaian sutera dan cincin batu permata di jarinya. Puteri itu memberitahu bahawa dia telah disumpah menjadi hodoh. Dia ingin meminta tolong untuk mencarikan penawar iaitu buah delima emas. Buah delima emas ialah buah sakti. Ia hanya dimiliki oleh nenek kebayan. Jus daripada delima emas itu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dan sumpahan daripada nenek kebayan.

Setelah itu, Ayu terus terjaga daripada tidurnya. Alangkah terkejutnya dia apabila menyedari bahawa dia dan adik-adiknya berada di dalam sebuah rumah dan bukannya di bawah pokok yang rendang tadi. Ayu terus mengejutkan Siti dan Wadi dari tidur, “Siti! Wadi! Bangun! Kita perlu balik ke rumah sekarang. Pasti ibu dan ayah risau mencari kita.” katanya.

Tiba-tiba, seorang wanita bongkok dan mukanya sangat hodoh masuk ke dalam rumah. Dia sedang menyapu sampah. Ketiga-tiga adik beradik itu terkejut dan berasa sangat takut. Sebagai kakak sulung, Ayu memberanikan diri untuk bertanya, “Kakak ini siapa?” sambil memandang dengan hairan. “Bagaimana kami boleh berada di sini?”. tanya Ayu. Wanita bongkok itu pun memperkenalkan diri. “Nama kakak, Melur. Kakak bawa kamu semua balik ke sini kerana hari semakin gelap. Kakak risau kalau ada binatang buas mencederakan kamu semua.” kata Melur. Dia mempelawa mereka makan buah-buahan yang ada di atas meja.

Ketika Melur sedang memotong buah mangga untuk mereka bertiga, tiba-tiba Ayu ternampak cincin batu permata yang dipakai oleh Melur. Dia teringat akan mimpinya tadi. “Siapakah kakak sebenarnya? Adakah kakak seorang puteri yang disumpah?” tanya Ayu. Melur terkejut dengan soalan itu kerana selama ini tiada seorang pun tahu siapa dirinya yang sebenar. Oleh itu, Melur menceritakan kisah hidupnya yang disumpah oleh nenek kebayan.

Puteri Melur seorang yang sangat cantik dan memiliki kuasa sakti. Pada suatu hari, Puteri Melur pergi bersiar-siar di tepi tasik. Tiba-tiba, seorang nenek kebayan yang bongkok mendekati Puteri Melur. Dia ingin menjual ubat-ubatan herba yang dibawanya. “Wahai Puteri Melur yang cantik, nenek ada jual ubatan herba. Puteri mahu beli?” tanya nenek kebayan.

“Tak mahu aku beli ubatan herba daripada kau. Nenek tua yang tak sedar diri. Kau tak layak duduk dekat dengan aku!” kata Puteri Melur dengan sombongnya kepada nenek kebayan. Dia terus menolak nenek kebayan itu sehingga jatuh. “Kau sombong dengan kecantikan yang kau miliki, wahai Puteri Melur! Maka akan ku sumpah kau menjadi hodoh dan bongkok seperti aku.” sumpah nenek kebayan itu. Jangan sumpah aku!!!

“Setelah kakak disumpah, kakak melarikan diri ke dalam hutan kerana sangat malu dengan semua orang.” cerita Melur dengan perasaan sedih. Puteri Melur menyesal dengan sikap sombongnya dahulu.

Keesokan harinya, Ayu, Siti dan Wadi tekad mahu mencari rumah nenek kebayan di dalam hutan. Puteri Melur juga menjaga mereka disepanjang perjalanan dengan menggunakan tongkat saktinya. Dia melindungi Ayu dan adik-adiknya daripada serangan binatang buas seperti harimau, ular dan beruang.

Setelah lama berjalan dari pagi hingga ke petang, mereka sampai juga ke rumah nenek kebayan itu. Tiba-tiba, Ayu ternampak ada seekor kucing parsi yang tersangkut di atas pokok. Kucing itu tidak berani untuk turun. Memandangkan Wadi seorang yang hebat memanjat pokok, Ayu dan Siti membantu mengangkat Wadi ke atas pokok. Mereka saling bantu membantu untuk menyelamatkan kucing itu. Tidak lama kemudian, muncul seorang nenek kebayan dari belakang rumahnya sambil mencari-cari sesuatu. “Di manalah kucing ku ini? Sudah ku cari di merata tempat.” nenek kebayan mengeluh kepenatan. Alangkah gembiranya dia apabila melihat tiga orang adik beradik itu menyelamatkan kucingnya di atas pokok.

“Terima kasih telah selamatkan kucing nenek. Sebagai tanda terima kasih, nenek akan tunaikan apa sahaja permintaan daripada kamu bertiga.” kata nenek kebayan. “Kalau begitu, bolehkah kami ingin meminta buah delima emas yang ditanam oleh nenek?” tanya Ayu. “Dan bolehkah nenek memaafkan Puteri Melur?” tanya Siti pula. “Ayah pernah berpesan pada Wadi, kita perlulah maafkan orang lain baru hidup kita gembira.” kata Wadi dengan ceria. Nenek kebayan itu, kagum dengan sikap mereka bertiga yang sangat baik hati dan dia bersetuju menunaikan permintaan mereka.

“Nenek kebayan, Melur minta maaf akan sikap Melur yang sombong dahulu. Sudikah nenek memaafkan Melur?” kata Puteri Melur kepada nenek kebayan. “Nenek maafkan kamu. Tetapi, kamu perlu janji tidak akan mengulangi sikap sombong itu lagi.” pesan nenek kebayan. Kemudian, nenek kebayan memberikan buah delima emas itu kepada Puteri Melur dan dia memakannya. Tiba-tiba, dia telah berubah menjadi seorang puteri yang sangat cantik. Badannya juga tidak bongkok seperti sebelum ini. Dia berasa sangat bersyukur kerana telah kembali kepada dirinya yang asal. Puteri Melur sangat berterima kasih kepada Ayu, Siti dan Wadi kerana sudi menolongnya berjumpa nenek kebayan.

Setelah semuanya selesai, Puteri Melur menggunakan kuasa saktinya untuk menghantar Ayu, Siti dan Wadi pulang ke rumah. Kedua-dua ibu bapa mereka sangat bersyukur kerana mereka pulang ke rumah dengan selamat. Puteri Melur juga memberi ganjaran yang lumayan kepada keluarga kecil itu sebagai tanda terima kasihnya kepada Ayu, Siti dan Wadi. Akhirnya, hidup mereka sekeluarga tidak lagi miskin dan mereka menjadi keluarga yang dermawan di kampung itu.

Data Loading...